The Prince Of Muslim Travelers: Ibn Battuta

 

BIODATA TOKOH:

Abu Abdullah Muhammad Ibn Abdullah al-Lawati al-Tanji Ibn Battutah atau lebih dikenali dengan gelaran Ibn Battuta merupakan seorang pengembara dan penjelajah yang tidak kurang hebatnya dengan Marco Polo, Vasco da Gama mahupun Christopher Columbus. Ibn Battuta merupakan seorang yang berbangsa Berber, iaitu salah satu daripada suku kaum orang Afrika Utara di Lembah Nil, yang tersebar secara meluas di Atlantik ke Oasis Siwa di Mesir, dari Mediterranean ke Sungai Niger. Beliau dibesarkan di Tangier, Maghribi (Morocco) oleh keluarga yang telah menghasilkan banyak hakim-hakim Muslim yang terkenal. Oleh kerana itu, Ibn Battuta telah menerima pendidikan awal berkenaan perundangan dan sastera di kampung halamannya. 

Walaupun Ibn Battuta lebih terkenal sebagai seorang penjelajah dan pengembara, beliau juga merupakan seorang cendiakawan dan ulama Mazhab Maliki serta pernah berkhidmat sebagai qadi atau hakim. Pada usia 21 tahun, Ibn Battuta telah memulakan perjalanan pertamanya dengan tujuan menunaikan ibadah Haji di Mekah dan menziarahi makan Rasulullah S.A.W di Madinah. Inilah permulaan kepada pengembaraan Ibn Battutah yang mengambil masa selama hampir 30 tahun dan merangkumi jarak perjalanan sejauh lebih kurang 120000 kilometer meliputi kawasan yang sekarang ini meupakan 44 buah negara moden di dunia. Kesemua pengalaman dan perkara yang dilalui oleh Ibn Battuta sepanjang kembaranya telah ditulis dan dibukukan oleh beliau dalam karya-karyanya seperti Tuhfat al-Nazar atau lebih dikenali sebagai al-Rihlah.


PENGEMBARAAN IBN BATTUTA

Secara ringkasnya pengembaraan Ibn Battuta terbahagi kepada empat tahap atau peringkat.

Laluan perjalanan yang dilalui Ibn Battuta sepanjang pengembaraannya

Peringkat pertama pengembaraan Ibn Battuta merangkumi perjalanan beliau dari Tangier, Maghribi ke kota Makkah pada tahun 1325 yang merentasi bahagian utara Afrika melalui Algiers dan Tunis. Beliau menetap seketika di Tunis selama dua bulan sebelum menyambung perjalanannya ke Tripoli dan seterusnya Alexandria. Kemudian Ibn Battuta singgah di Cairo sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Jurusalem, Damascus, Madinah sehingga tiba ke Mekah. Dalam perjalanan tersebut, beliau telah mencatatkan pengalamannya di tempat bersejarah seperti Baitulmuqaddis. Di Syam pula, beliau membuat pemerhatian tentang tinggalan kerajaan Umayyah sehinggalah tercapai hasratnya untuk menunaikan haji di Makkah. Apabila selesai menunaikan ibadah haji di kota Mekah, Ibnu Battuta menetap sementara di kota Mekah untuk menuntut ilmu sebelum meneruskan pelayarannya ke wilayah Iran. 

Peringkat kedua pelayaran Ibn Battuta ialah selepas beliau selesai mengerjakan haji pada tahun 1326. Ibn Battuta meneruskan perjalanan ke selatan Iraq dari kota Mekah. Kemudian beliau pergi ke selatan Parsi dan Kota Baghdad.  Dalam perjalanan ini, beliau telah menempuh pelbagai cabaran ketika menyeberangi Sungai Furat dan Dajlah untuk pergi ke Parsi. Apabila sampai di Parsi, beliau mengunjungi bandar-bandar seperti Syiraz dan Isfahan dan akhirnya sampai di Baghdad di mana beliau bertemu dengan Abu Sa’id, mongol khan yang terakhir dalam pemerintahan Iran. Setelah itu, beliau kembali semula ke Makkah dan berada di sana selama kira-kira 2-3 tahun untuk mendalami ilmu agama.

Peringkat ketiga pelayarannya pada tahun 1328 iaitu merangkumi perjalanan yang bermula dari Makkah ke Yaman, diikuti Afrika Timur, Oman, Bahrain, Sudan, Mesir Utara, Turki hinggalah sampai ke Constantinople. Di Turki, beliau telah mengiringi rombongan yang dihantar oleh Uzbek Khan untuk menemui Kaisar Byzantine dan beliau turut diberikan penghormatan oleh pemerintah kota tersebut.

 Peringkat keempat pelayaran Ibn Battuta bermula dari Turki ke India melalui Bukhara, Samarkand, Khurasan dan Afghanistan. Di India, beliau telah dilantik sebagai kadi sewaktu pemerintahan kerajaan Tuhgluq dan sempat meninjau pelbagai adat resam dan kebudayaan masyarakat India. Pengembaraan ke benua Asia diteruskan ke China. Dalam pelayaran ke negara tersebut, beliau telah melalui dan melawat Bangladesh, Myanmar, Kepulauan Andaman, Aceh, Selat Malaka, Singapura, dan menembusi Laut China Selatan. Kemudian beliau berlabuh dan meneruskan perjalanan ke Beijing melalui jalan darat. Pada tahun 1346, Ibn Battuta membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Tangier. Setibanya Ibn Battuta di Morocco, beliau menetap sekejap di situ sebelum meneruskan pelayarannya untuk melanjutkan perjalanan menyeberangi Laut Tengah ke Andalusia iaitu wilayah Sepanyol selatan, kemudiannya menembusi gurun Sahara hingga ke Mali, wilayah Afrika barat.

Pada tahun 1354, Ibn Battuta kembali ke tanah kelahirannya Tangier dan menetap di kota Fez. Di sana, Ibnu Battuta berkawan baik dengan sultan. Baginda sultan yang sangat kagum dengan perjalanan Ibnu Battuta telah meminta supaya Ibn Battuta menuliskannya ke dalam sebuah buku, yang dikenali sebagai Rihla atau My Travel. 

Al-Rihlah atau nama rasminya Persembahan kepada para Pemerhati tentang Keanehan Kota Raya dan Keajaiban Pengembaraan yang ditulis oleh Ibn Battuta


SUMBANGAN IBN BATTUTA

1) Sumber Rujukan Sejarah

Ibn Battuta dijadikan sebagai sumber rujukan sejarah serta rujukan dari aspek yang lain, contohnya tentang pelayaran, ilmu-ilmu keagamaan, budaya serta adat resam dan bermacam-macam lagi. Hal ini demikian kerana Ibn Batutta telah meninggalkan catatan sejarah perjalanan dan pengembaraan dalam karyanya Rihlah yang dihasilkan atas permintaan Sultan Maghribi. Karyanya ini merupakan rekod penting sejarah Zaman Pertengahan bagi pelbagai negara yang dilawati termasuk negeri-negeri Afrika, China, India dan Asia Tenggara. Buku ini merakamkan sejarah bagi aspek-aspek kehidupan bangsa-bangsa pada abad ke-14M seperti agama, sosial, budaya, politik dan lain-lain. Beliau juga banyak menulis tentang negara-negara Islam, terutamanya India semasa pemerintahan Sultan Muhammad Taghluq, Anatolia, Maldives, Afrika, China dan Asia Tenggara.


2) Menjadi Contoh Serta Dorongan Pengembara Islam Dan Barat

Kejayaan pengembaraan Ibn Batutta telah menjadi dorongan dan ikutan kepada pengembara yang lain, bukan sahaja kepada pengembara Islam, tetapi juga kepada pengembara Barat. Catatan beliau menjadi sumber panduan kepada pelayar Eropah yang berusaha memcari jalan ke Timur pada abad ke-15 dan l6M seperi Vasco da Gamma.


3) Memperluaskan Tamadun Islam 

Pengembaraan Ibn Batutta memberi sumbangan besar dalam memperluaskan tamadun manusia khasnya tamadun Islam. Berlaku interaksi antara tamadun apabila beliau membawa ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ajaran Islam, selok belok pelayaran, ilmu perkapalan dan lain-lain ke negara yang dilawati dan turut menimba ilmu dari negara berkenaan.


Begitulah ringkasan kepada pengembaraan Ibn Battuta yang sangat hebat dan panjang. Beliau keluar untuk mengembara ke luar negeri untuk menimba ilmu serta memperluaskan pengetahuan dan pandangan pada usia beliau 21 tahun dan akhirnya Ibnu Battuta kembali semula ke tempat asal kelahirannya ketika beliau berusia 44 tahun. Maka, kita sebagai orang Islam perlulah mencontohi semangat dan tekad Ibn Battuta dalam mengejar cita-cita kita. 


Comments

Popular posts from this blog

The Father of Early Modern Medicine: Ibn Sina (Avicenna)

Hamka: Tokoh Ulama Nusantara