HAMKA : Tokoh Ulama Nusantara


PENGENALAN


Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah merupakan tokoh ulama yang tersohor di Nusantara. Ketokohan beliau turut dikenali di dunia Barat  menerusi undangan yang diterima oleh beliau ke Amerika Syarikat selama 4 bulan pada tahun 1957 dan nama beliau juga tidak asing lagi di negara- negara Timur. Hamka telah banyak menyumbang dalam bidang politik, agama, pendidikan dan sastera yang membawa perubahan terhadap pembangunan dan kelestarian ummah. Justeru wajar bagi kita generasi kini dan akan datang untuk menelusuri ketokohan Hamka bagi mengambil pengajaran daripada kisah perjuangan ulama terdahulu dalam menyebarkan dakwah serta kebaikan terhadap ummah.


LATAR BELAKANG KEHIDUPAN


Dilahirkan di Sungai Batang iaitu sebuah perkampungan kecil berdekatan Danau Maninjau, Sumatera Barat, Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA telah lahir pada 17 Februari 1908 bersamaan dengan 14 Muharram 1326 H. Beliau merupakan anak kepada pelopor Gerakan Islah, Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau lebih mesra dipanggil Haji Rasul dengan isteri ketiganya bernama Safiah. Hamka dilahirkan dalam kalangan keluarga yang alim dan dihormati masyarakat kerana ayah dan datuknya, Amrullah merupakan ulama tersohor di Minangkabau. 


Hamka menerima pendidikan awalnya di Sekolah Dasar Maninjau hingga kelas dua sebelum dibawa bapa nya berhijrah ke Padang Panjang, Sumatera Barat. Di sana, Haji Rasul telah mengasaskan sebuah sekolah agama iaitu Sumatera Thawalib yang menjadi tempat Hamka meneruskan pendidikan awalnya pada usia 10 tahun ketika itu. Beliau turut menerima pendidikan tidak formal menerusi majlis- majlis ilmu di masjid, surau dan berguru dengan beberapa ulama terkemuka seperti Syeikh Ibrahim Musa, Sheikh Ahmad Rasyid, R. M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo.


Semangat beliau untuk menuntut ilmu dan mencari pengalaman mendorongnya untuk berhijrah ke Tanah Jawa pada tahun 1924 hingga 1925. Beliau banyak berdamping dengan abang iparnya Sheikh Ahmad Rasyid yang merupakan individu penting dalam gerakan Muhammadiyah dan berpeluang menimba ilmu agama darinya. Hal ini menjadi satu “turning point” dalam hidup Hamka dalam perkembangan kisah hidupnya sebagai tokoh ilmuwan. Bertitik tolak dari itu, beliau mula bergiat aktif dalam politik dengan menyertai Parti Sarekat Islam dan Gerakan Islam Muhammadiyah. Pada usianya yang masih muda iaitu 17  tahun, beliau mula mengasah kemahiran beliau dalam bidang penulisan. Cukup setahun di perantauan, beliau pulang semula ke Padang Panjang.


Seterusnya, pada tahun 1927, beliau pergi ke Mekah untuk meneruskan perjuangannya dalam menuntut ilmu. Kerana kritikan yang diterimanya, penghijrahannya ke Mekah menjadi batu loncatan untuk meningkatkan kredibiliti beliau dalam kegiatan dakwah. Sepanjang 8 bulan di Makkah, beliau menjadi wartawan, dan bekerja di syarikat percetakan dalam bahasa Arab yang membolehkan beliau untuk menguasai bahasa Arab dengan lebih baik. Hamka turut menjadi salah satu pengasas Persatuan Hindia Timur yang mengajarkan ibadah haji kepada calon jemaah haji dari Indonesia. 


Di usianya 21 tahun, beliau mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan keluarganya Siti Raham yang baru berusia 15 tahun. Episod perjuangannya dalam membangunkan ummah diteruskan sebelum beliau wafat pada tahun 1981 kerana serangan jantung. Beliau sempat menerima rawatan selama beberapa hari di hospital sebelum menghembuskan nafas yang terakhir ketika usianya 73 tahun.


SUMBANGAN HAMKA


  • Politik

Ketika usianya 17 tahun, Hamka mula bergiat aktif dalam gerakan politik dengan menyertai Parti Sarekat Islam. Sewaktu Perang Dunia Ke- 2, beliau turut serta dalam memperjuangkan kebebasan tanah airnya dari penjajahan Jepun. Selepas kekalahan Jepun, Hamka kembali bergiat aktif dalam parti Majlis Syura Muslimin Indonesia yang dikenali sebagai Masyumi yang diasaskan pada tahun 1945. Kemudian, beliau meneruskan perjuangan menentang penjajahan Belanda di Padang Panjang setelah selesai tugas dakwahnya di Medan. Zaman revolusi ketika itu menuntut beliau untuk terus berjuang bersama tokoh pejuang kemerdekaan yang lain sehingga akhirnya mereka berjaya apabila Belanda mengisytiharkan kedaulatan Indonesia pada tahun 1949. Walaubagaimanapun, pada tahun 1959 parti Masyumi telah dibubarkan  oleh Presiden Soekarno. 


Namun begitu, Hamka dilantik menjadi ketua bagi Majlis Ulama Indonesia (MUI) pada tahun 1977. Dalam usaha Hamka untuk terus memperjuangkan hal ehwal agama Islam, beliau telah mengeluarkan fatwa yang menentang penguatkuasaan Rang Undang- Undang Perkahwinan 1973 dan juga usul kerajaan bagi membolehkan umat Islam menyambut perayaan Natal bersama dengan penganut Kristian. Malangnya, kerajaan telah mengendahkan fatwa beliau menyebabkan beliau membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ketua MUI pada tahun 1981. Perjalanan kisah beliau dalam bidang politik penuh dengan ujian dan cabaran sehingga membawa kepada kisah beliau dipenjarakan selama 2 tahun 4 bulan oleh pemerintah pada ketika itu. Bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat beliau untuk terus menyampaikan dakwah dan menyebarkan ilmu pengetahuan kepada ummah.


  • Pendidikan


Dunia pendidikan tidak asing bagi Hamka. Kerjaya pertama beliau sebagai seorang pendidik bermula di Perkebunan Tebing TInggi, Medan selepas pulang dari Makkah pada tahun 1927. Setelah beliau berkahwin pada tahun 1929, beliau menetap di Padang Pandang menjadi guru agama di sana. Tahun 1957 hingga 1958, beliau berkesempatan mengajar sebagai pensyarah di Universitas Islam Jakarta dan Universitas Muhammadiyyah, Padang Panjang. Sumbangan utamanya dalam bidang pendidikan membawa perubahan pada corak dan hala tuju pendidikan anak- anak Indonesia. Beliau turut dilantik sebagai Rektor di Perguruan Tinggi Islam di Jakarta dan juga menjadi profesor di Universitas Mustapo, Jakarta. Kemuncak ketokohan beliau dalam bidang pendidikan adalah ketika dilantik oleh Menteri Agama Indonesia sebagai Pegawai Tinggi Agama pada tahun 1951 hingga 1960. 


Sumbangan Hamka tidak hanya tertumpu pada pendidikan formal, malah beliau amat memandang serius terhadap kesan ilmu pengetahuan dalam mengubah kehidupan manusia ke arah yang lebih baik. Hal ini dapat dilihat dengan usaha beliau yang memanfaatkan sepenuhnya potensi institusi masjid Al- Azhar di hadapan rumahnya di Jakarta sebagai pusat penyebaran dakwah dan ilmu secara tidak formal sejak tahun 1952. Beliau tidak pernah membiarkan masjid itu sunyi dari kegiatan majlis- majlis ilmu dan sebagai imam besar di sana, beliau turut bertanggungjawab bagi menguruskan aktiviti keagamaan bagi kebaikan masyarakat.


  • Penulisan


    Sumbangan Hamka dalam bidang penulisan boleh dikategorikan dalam 3 aspek, iaitu penulisan ilmiah, agama dan juga sastera kreatif. Setiap karya penulisan beliau mempunyai keunggulannya yang tersendiri. Karya beliau begitu tersohor sehingga ada sebahagiannya diadaptasikan dalam sebuah filem. Mesej dakwahnya dalam penulisan kekal relevan sehingga kini. Malah, ramai sarjana dan ahli akademik telah mengkaji penulisan Hamka dalam pelbagai bidang kerana keistimewaan yang terkandung dalam karya beliau sangat bernilai untuk dijadikan sebagai tokoh ikutan dan pengajaran bagi generasi- generasi yang mendatang.


Karya Penulisan Ilmiah:

  • Falsafah Hidup 

  • Pandangan Hidup Muslim 

  • Lembaga Hidup 

  • Lembaga Budi 

  • Kenang-kenanganku di Malaysia 

  • Kenang-kenangan Hidup 

  • Revolusi Fikiran 

  • Urat Tunggang Pancasila 





Karya Penulisan Agama:

  • Tafsir al-Azhar



Karya Penulisan Sastera Kreatif:

  • Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1938) 

  • Merantau ke Deli (1938)

  • Di Bawah Lindungan Kaabah (1938)

  • Terusir Kerana Fitnah (1938)

  • Tuan Direktur (1939)

  • Keadilan Ilahi (1941) 

  • 4 Bulan di Amerika (1952)


   


Secara keseluruhannya, beliau telah menghasilkan sebanyak 79 buah penulisan dari pelbagai genre di sepanjang hayatnya. Sumbangan beliau yang begitu besar dalam membangunkan tahap pemikiran dan kesejahteraan ummah dari segi politik, pendidikan, penulisan dan banyak lagi telah mengangkat Hamka sebagai tokoh ulama Nusantara yang disegani.

Comments

Popular posts from this blog

The Father of Early Modern Medicine: Ibn Sina (Avicenna)

The Prince Of Muslim Travelers: Ibn Battuta

Hamka: Tokoh Ulama Nusantara